Program Ihya’ Ramadan & Iktikaf Selangor (IRIS) 2026 telah berjaya dilaksanakan pada 14 hingga 15 Mac 2026 bertempat di Masjid Cahaya Iman, Bandar Country Homes hasil kerjasama, IKRAM Kawasan Hulu Selangor, Masjid Cahaya Iman dan SRII Integrasi Hira Rawang. Program bertemakan “Rebut Pahala Bersihkan Jiwa” ini bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan melalui pengisian rohani, pendidikan keagamaan dan aktiviti kemasyarakatan.
Sepanjang program berlangsung, para peserta telah mengikuti pelbagai aktiviti bermanfaat seperti ceramah umum, tadarus al-Quran, qiamullail, kuliah subuh, iftar, moreh dan sahur secara berjemaah. Turut diadakan pengisian mengikut kelompok usia melalui program Aulad Raikan Ramadan, Remaja Raikan Ramadan, Belia Raikan Ramadan serta Wanita Raikan Ramadan bagi memberi pengalaman Ramadan yang lebih bermakna kepada semua lapisan masyarakat.
Selain itu, majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf serta pelbagai aktiviti komuniti yang mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat. Program ini mencerminkan komitmen pihak penganjur dalam menjadikan Ramadan sebagai madrasah tarbiah yang menyuburkan iman, amal dan kebersamaan.
Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan IRIS 2026 dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi manfaat ummah.